Putrajaya Salah Strategi Dalam Isu Kenaikan Tol Tambak Johor

Dalam kemeriahan umat Islam menyambut Aidilfitri pada saat kenaikan harga barangan serta kos sara hidup yang semakin meningkat, rakyat Malaysia di kawasan Johor Selatan dan dikejutkan dengan kenaikan tol di Tambak Johor lebih 400 peratus, berkuatkuasa Jumaat lalu.

Kenaikan tol itu yang diumumkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri mengundang pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat di Johor khususnya di kawasan Johor Selatan atau lebih tepat lagi Johor Bahru.

Saya selaku Ahli Parlimen Pulai mengeluarkan kenyataan media sebaik mendapat makluman mengenai kenaikan kadar tol berkenaan menuntut supaya kerajaan mengkaji semula kenaikan tol berkenaan kerana ia jelas akan membebankan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang sebelum ini, sudah terjejas dengan kenaikan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) oleh Singapura.

Namun tanpa disangka, kenaikan tol di Tambak Johor dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) bertukar menjadi isu perkauman kerana ia dilihat lebih terkesan kepada masyarakat Cina yang lebih ramai bekerja di Singapura berbanding kaum lain termasuk orang Melayu.

Sebagai Ahli Parlimen untuk semua kaum, saya berpendapat keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar tol berkenaan tanpa mengadakan rundingan dengan pihak berkepentingan termasuk saya sendiri selaku Ahli Parlimen amat tidak menggambarkan konsep ‘rakyat didahulukan’.

Isu kenaikan kadar tol ini, jelas dipolitikkan dengan begitu meluas di media sosial dengan pelbagai pihak mempunyai pandangan masing-masing termasuk memberikan gambaran ia adalah reaksi emosi daripada kerajaan Malaysia terhadap kenaikan VEP Singapura.

Malah, saya sendiri ‘dihentam’ bloggers pro BN yang menggambarkan kenyataan saya seperti Ahli Parlimen dari Singapura serta tidak menyokong keputusan kerajaan menaikkan kadar tol berkenaan.

Memang benar, hujah beberapa pihak mengenai kesetiaan rakyat Malaysia yang memilih untuk menjadi Pemastautin Tetap (PR) Singapura dan memilih untuk terus tinggal di Johor serta memandu kenderaan negara seberang tambak berkenaan.

Tetapi selaku Ahli Parlimen di kawasan Johor Selatan, saya perlu bersikap adil dengan pengundi Parlimen Pulai yang bekerja di Singapura yang jelas terbeban serta terkesan dengan kenaikan kadar tol berkenaan.

Bagi mereka keputusan kerajaan itu langsung tidak adil serta tidak memahami keperitan mereka yang perlu berulang alik ke Singapura demi mencari rezeki yang kemudian dibawa balik semula ke Johor sekaligus meningkatkan ekonomi negeri.

Mereka ini, tidak mempunyai pilihan kerana perlu bekerja di negara seberang Tambak berikutan kadar upah lebih tinggi serta peluang pekerjaan lebih baik yang tidak didapati di Johor.

 Kenaikan kadar tol berkenaan yang kemudian akan disusuli dengan VEP oleh Malaysia tidak lama lagi, jelas akan memberikan kesan besar terhadap perbelanjaan seharian mereka dan mungkin menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan ‘mewah’ di Johor.

Ia akan mengakibatkan rantaian ekonomi Johor terganggu terutama sekali peniaga kedai makananan serta runcit yang amat bergantung kepada kuasa membeli rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Pada masa sama, saya juga tidak mahu tindakan kerajaan menaikkan kadar tol selain pengenalan VEP untuk kenderaan asing dilihat sebagai ‘tit for tat’ daripada Malaysia disebabkan tindakan Singapura.

Malah, tindakan membebankan sama ada daripada kerajaan Singapura dan Malaysia sudah pasti memberikan kesan besar kepada rakyat kedua-dua negara yang mempunyai pertalian kuat serta bergantung bukan sahaja daripada ekonomi malah juga sosial.

Berikutan tindakan kerajaan menaikkan kadar tol Jumaat lalu, Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LAT) kemudian mengeluarkan kenyataan tidak menolak kemungkinan akan menaikkan juga kadar tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Woodlands.

Sampai bila sikap berbalas-balas seperti ini, akan berakhir?

Rakyat perlu dimaklumkan terlebih dahulu mengenai kemungkinan berlaku kenaikan kadar tol bagi membolehkan mereka bersedia dan menyesuaikan diri terutama sekali daripada segi perbelanjaan.

Kini, apa yang dapat dilihat adalah tindakan kerajaan menaikkan kadar tol berkenaan bukan disebabkan dasar tetapi lebih kepada emosi selain timbul 1001 persoalan mengenai status EDL itu sendiri.

Ini kerana EDL pada asalnya, dibina sebuah syarikat swasta kemudian diambil alih kerajaan selepas wujud desakan daripada masyarakat setempat supaya lebuh raya berkenaan dikecualikan tol, tetapi kini kerajaan mengumumkan pula kenaikan tol di Tambak Johor dengan alasan pengguna lalu lintas ke Singapura menikmati infrastruktur yang lebih baik.

Infrastruktur apakah yang dimaksudkan itu? Adakah ia EDL? Atau KIK BSI? Di sinilah timbul pelbagai persoalan di kalangan rakyat Johor Bahru yang semakin pelik dengan tindakan kerajaan yang dilihat cuba menyembunyikan sesuatu dan tidak mahu berterus terang mengenai alasan kenaikan kadar tol itu.

Sebab itu, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), saya mahu mengetahui status sebenar EDL ini, kerana pada asalnya ia bukan projek kerajaan dan tidak melalui tender kerajaan.

Jika kerajaan terus bertegas menaikkan kadar tol ini, pengecualian segera perlu diberikan kepada pengangkutan awam yang digunakan rakyat berpendapatan rendah untuk berulang alik dari Johor ke Singapura.

Disebabkan kurangnya sikap berhati-hati dalam menaikkan kadar tol ini, ia turut menyebabkan berlaku mogok bas awam yang tidak mahu membayar harga tol baru sekaligus menyusahkan rakyat jelata.

Tidak mustahil selepas ini, syarikat bas awam yang berulang dari Johor ke Singapura akan mengumumkan kenaikan harga tambang bagi menyerap kadar tol baru dan ia akan membebankan mereka yang berpendapatan rendah.

Dasar kerajaan seharusnya, melindungi kepentingan rakyat secara keseluruhan bukan tunduk kepada desakan politik kerana kerajaan perlu sedar mereka akan dinilai rakyat pada Pilihanraya Umum (PRU).

Ketika ini, parti pembangkang khususnya, DAP dilihat menjadi pejuang kepada golongan yang terjejas akibat kenaikan kadar tol ini, dan ia sebenarnya, adalah petanda tidak baik kepada Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan Johor Selatan.

Kita perlu sedar hakikat kawasan Johor Selatan kini, mempunyai ramai pengundi masyarakat Cina yang bekerja di Singapura dan mereka sudah pasti mahu memilih parti yang memperjuangkan nasib mereka.

Sebab itu, kenaikan kadar tol ini, terus menjadi isu politik yang kemudian menjadi isu perkauman sekaligus akan memberikan imej tidak baik kepada BN dan Umno Johor kerana terus dilihat gagal membela nasib semua kaum secara inklusif seperti yang dilaungkan Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Jalan penyelesaian perlu diambil dengan segera dan campur tangan pantas daripada Putrajaya amat perlu bagi menyelesaikan isu kenaikan kadar tol ini, kerana rakyat akar umbi tidak mahu menerima alasan lemah yang diberikan kerajaan.

Alasan kenaikan disebabkan infrastruktur yang lebih baik serta mengawal jumlah kenderaan masuk ke Johor amat tidak boleh diterima dan lemah menyebankan ia mudah dipolitikkan.

Ini disebabkan walaupun mempunyai EDL dan KIK baru, semua mengetahui mengenai kesesakan lalulintas yang terus terpaksa dihadapi untuk memasuki Johor melalui Tambak Johor.

Selain itu, kerajaan juga perlu mempertimbangkan mengenai pertumbuhan Iskandar Malaysia dan adalah sesuatu yang memelikkan kerana tidak ada kenyataan daripada Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (IRDA) mengenai kenaikan kadar tol ini, sama ada ia akan menjejaskan pelaburan daripada Singapura ke wilayah ekonomi ini.

Justeru sudah pasti akan wujud kesan terhadap kenaikan kadar tol ini, terutama sekali rakyat Singapura yang berulang alik ke Johor sama ada yang menetap atau bekerja di Iskandar Malaysia.

Terus terang saya nyatakan rakyat Singapura yang masuk ke Johor Bahru tidak akan merasai kesan kenaikan kadar tol ini, kerana menikmati tukaran mata wang yang tinggi selain perlu untuk keluar daripada republik berkenaan.

Yang paling teruk terjejas adalah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura demi mencari rezeki yang lebih baik di negara berkenaan disebabkan kurangnya peluang pekerjaan di Johor itu sendiri.

Kerajaan sedar kejayaan Iskandar Malaysia amat bergantung kepada pelaburan daripada Singapura dan atas sebab itu, saya dimaklumkan mengenai adanya ‘arahan’ daripada kerajan Singapura kepada media negara itu, untuk tidak menghentam Iskandar Malaysia dan kepimpinan Datuk Seri Najib.

‘Endorsement’ Singapura terhadap Iskandar Malaysia amat perlu dalam menarik pelabur asing ke wilayah pembangunan ekonomi ini, dan andaikata pelabur dan rakyat negara itu, sudah mula bercakap mengenai keburukan dan kelemahan Malaysia dan Johor khususnya, pertumbuhan Iskandar Malaysia pasti akan terjejas.

Atas sebab itu, suatu tindakan segera amat perlu diambil dalam menangani kenaikan kadar tol ini, kerana bagi saya selain ia melarat menjadi isu politik dan perkauman, masa depan Iskandar Malaysia juga perlu diambil kira.

Putrajaya perlu sedar mereka tidak seharusnya tunduk kepada desakan politik termasuk daripada Umno sendiri, dalam isu kenaikan kadar tol ini, yang menjadi keutamaan adalah rakyat yang sudah pasti bukan sahaja orang Melayu tetapi juga kaum lain.

Ingin saya tegaskan selaku Ahli Parlimen Pulai yang terletak dalam kawasan Johor Selatan, saya tidak bersetuju dengan kenaikan kadar tol ini, kerana implikasinya adalah penduduk Johor sendiri yang bekerja di Singapura terutama sekali pengundi dalam Parlimen Pulai.

Walau bagaimanapun, saya bukanlah mahu menolak terus kenaikan kadar tol ini, jika alasan menaikkan kadar tol ini disebabkan dasar berikutan inflasi selain ia tidak pernah dinaikkan sejak mula dilaksanakan.

Tetapi kenaikannya terlalu mendadak hingga kadarnya lebih tinggi daripada kadar inflasi sehingga timbul persepsi lebihan hasil tol berkenaan digunakan bagi menampung kos EDL.

Rakyat kini sudah cerdik dan Datuk Seri Najib sendiri menyatakan zaman kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir, jadi penjelasan yang telus perlu diberikan dan walaupun pahit, saya percaya rakyat boleh menerimanya bukan dengan alasan yang lemah seakan mahu membodohkan rakyat.

Tidak ada gunanya selepas ini, jika Iskandar Malaysia mempunyai segala macam kekayaan tetapi wakil rakyatnya terdiri daripada parti pembangkang seperti yang berlaku di Kuala Lumpur.

 Jika Putrajaya tidak berhati-hati menangani kenaikan kadar tol ini, segala usaha Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua untuk menguatkan perpaduan antara kaum di kawasan bandar selepas berlakunya tragedi hitam 13 Mei akan sia-sia kerana isu ini, sudah pasti bertukar menjadi isu perkauman di kawasan Johor Selatan.

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *