Berniaga Manusia Lagi Bagus Daripada Unta

 

“Dunia… Dunia…. Berniaga manusia lagi bagus daripada unta.. Wow!!”

 

Itulah yang diperkatakan oleh Tuan Husin Lempoyang watak dalam filem Tiga Abdul apabila beliau berjaya menjual khadam-khadamnya, Abdul Wahab dan Abdul Wahib kepada Jamal Pak Tongkol (Abdul Wahub).

 

Ini adalah sebahagian dari nilai dan nasihat tersirat dalam bentuk jenaka sinis yang seringkali disulam ke dalam filem-filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee bagi mendidik masyarakat.

 

Ada kebenaran dengan apa yang dikatakan bahawa berniaga manusia itu sangat menguntungkan. Masakan tidak penjajah eropah rakus menculik orang asal dari Afrika dan menjualnya kepada pengusaha kapas di Amerika Syarikat sebagai hamba abdi.

 

Walaupun zaman meniaga hamba sudah lama berlalu itu tidak bermakna perdagangan manusia itu telah pupus, ia masih lagi wujud hingga ke hari ini namun bukanlah dalam bentuk manusia yang digari dan dilelong di tengah pasar.

 

Perhambaan kini dalam bentuk buruh paksa, kanak-kanak yang dieksploitasi atau pekerja seks yang diikat dengan beban hutang keluarga, inilah bentuk perhambaan di era globalisasi ini.

 

Perdagangan manusia juga berlaku dalam bentuk mengambil kesempatan terhadap golongan mereka yang terdesak khususnya mereka yang lari dari penindasan, kesusahan ekonomi atau peperangan. Mereka ini yang sanggup bergolok dan bergadai untuk berhijrah menjadi mangsa kepada orang tengah yang tamak lagi tidak berperi kemanusiaan.

 

Di kawasan asia tenggara, Malaysia meruapakan salah satu destinasi tumpuan kerana iklim politik dan pertumbuhan ekonomi yang stabil menjadikan daya penarik kepada mereka yang ingin mencari peluang kehidupan yang lebih cerah.

 

Apatah lagi kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju, aman dan makmur menjadi tumpuan untuk banyak warga asing yang beragama Islam untuk mencari rezeki di sebuah negara yang tidak memusuhi agama yang mereka anuti.

 

Saya sedar bahawa isu pekerja asing di Malaysia merupakan satu isu yang agak besar di kalangan rakyat kita. Apatah lagi ianya dilihat sebagai saingan kepada pekerja tempatan.

 

Namun saya sukar untuk menjatuhkan hukuman dengan mudah atau mengambil pendekatan ekstrim kerana selaku Ahli Parlimen Pulai yang terletak bersebelahan dengan Johor Bahru, sebahagian besar dari pengundi saya juga merupakan pekerja asing di Singapura.

 

Perbezaan tukaran matawang dan permintaan majikan di sana menarik minat rakyat Malaysia untuk berulang-alik bekerja dan mereka ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui gaji yang dibawa pulang sebagaimana mereka juga turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Singapura.

 

Persoalannya di sini bagaimana dapat kita mengimbangi kemajuan ekonomi berbanding dengan keperluan sosial rakyat Malaysia yang berpaksikan kepada peluang pekerjaan, keselamatan dan pendapatan yang setimpal.

 

Antara faktor yang dikenalpasti oleh kerajaan ialah jurang pendapatan yang begitu besar antara pekerja asing dan tempatan. Ini berpunca dari beberapa faktor seperti dari tukaran matawang asing, selain dari itu ada juga kes penindasan dan eksplotasi terhadap pekerja asing juga merupakan punca utama kepada jurang ini.

 

Penindasan terhadap golongan yang terdesak, khususnya PATI menyebabkan banyak perniagaan dan perusahaan menggunakan mereka ini bagi menurunkan kos mereka seterusnya meningkatkan keuntungan.

 

Ini menyumbang kepada pertumbuhan industri pemerdagangan manusia yang tidak berperi kemanusiaan sebagaimana kita dapat lihat melalui berita di mana warga Rohingya ditindas oleh pedagang-pedagang manusia ini di sempadan Malaysia-Thailand.

 

Atas kesedaran ini pihak kementerian telah mengambil langkah pengimbangan, selain dari operasi besar-besaran ke atas syarikat yang menggajikan PATI, kita juga melaksanakan proses pemutihan melalui skim E-Card kepada pekerja asing.

 

Proses pemutihan ini mempunyai beberapa objektif antaranya untuk pihak KDN memantau jumlah sebenar pekerja asing, menyimpan rekod mereka bagi tujuan keselamatan, pemantauan wabak penyakit melalui tapisan FOMEMA dan sebagai proses bagi memastikan mereka turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui pembayaran levi (yuran) untuk permit bekerja.

 

Selain dari itu apabila pekerja asing ini mempunyai dokumen dan hak asasi pekerjaan, ini bermakna mereka ini sukar ditindas majikan seterusnya boleh menuntut penggajian yang lebih baik berdasarkan penawaran dan permintaan pasaran.

 

Dengan pembetulan gaji pekerja asing yang lebih mengikut keperluan pasaran sebenar, ini seterusnya dapat membawa manfaat kepada pekerja tempatan.

 

Sebagai contoh, katakanlah sebuah kilang yang sebelum ini menggajikan PATI pada kadar RM 1000 sebulan, kini terpaksa menaikkan gaji kepada kadar RM 1500 pekerja asing  yang sah untuk menampung kadar levi dan untuk memastikan mereka ini tidak lari bekerja di tempat lain.

 

Apabila pembetulan gaji dilakukan semula, sudah pasti ia dapat mengubah persepsi dan menarik minat pekerja Malaysia.

 

Pada masa yang sama, penguatkuasaan tegas juga sedang diambil, selain dari serbuan ke atas kilang, premis perniagaan dan operasi besar-besaran, kini majikan juga sudah dihadapkan ke mahkamah sebagai langkah pencegahan buat majikan lain yang melindungi atau menggaji PATI.

 

Kerajaan kini sedang mempertingkatkan keberkesanan mahkamah khas bagi menangani kes-kes imigresen untuk mempercepatkan proses perundangan.

 

Hasilnya pada 27 Jun 2017 kedudukan Malaysia telah dinaiktarafkan ke tahap 2 dalam laporan pemerdagangan manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat, kedudukan yang setara dengan Singapura dan Brunei.

 

Ini merupakan satu pencapaian yang amat baik memandangkan ini merupakan kali pertama semenjak tahun 2007, tahun Akta ATISOM digubal, Malaysia mendapat penarafan ini.

 

Hasil kerja Majlis Anti Pemerdagangan Orang yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KDN telah berjaya menyatukan pelbagai agensi, jabatan dan kementerian bagi memastikan masaalah pekerja asing tanpa izin ini dapat ditangani dengan baik dan kini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

 

Namun hasrat utama majlis ini bukanlah untuk menaikkan penarafan semata-mata, tetapi lebih penting mempunyai matlamat dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang lebih seimbang dan sekaligus melindungi kepentingan pekerja tempatan dan asing. Majikan juga harus mengubah cara perniagaan mereka dan menghentikan penggunaan pekerja asing haram sebagai cara mensubsidikan keuntungan mereka.

 

Saya sedar akan retorik pihak-pihak tertentu yang seringkali menyalahkan kerajaan semata-mata dan memanggil untuk tindakan drastik diambil tanpa  berfikir panjang akan implikasi terhadap ekonomi dan industri. Memang kita hendak menyelesaikan masaalah ini dengan segera namun haruslah diselesaikan secara bijaksana.

 

Dalam kita menyelesaikan suatu isu yang rumit seperti ini, yang melibatkan pelbagai pihak dan tindakbalas, satu pendekatan yang menyeluruh, sistematik dan berkesan ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berserak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *