Gabungan parti Harapan hanya ‘tonto’ politik

KUALA LUMPUR, 20 Julai 2017 (Sinar Harian) – Gabungan Harapan boleh disifatkan sebagai tonto (tolong orang nak tipu orang) politik kerana pemimpin utama mereka mempunyai agenda peribadi masing-masing.

Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, empat parti dalam gabungan itu saling mahu memanipulasi antara satu sama lain demi cita-cita politik mereka.

Jelas beliau, situasi itu amat jelas apabila dua pemimpin utama iaitu Tun Mahathir Mohamed dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah berkerat rotan serta berpatah arang kini sanggup kembali menjadi sahabat karib.

“Anwar sudah lama mengidam kerusi perdana menteri sehingga sanggup bekerjasama dengan musuh paling ketat dalam dunia politiknya.

“Manakala Tun M yang pernah pecat kerana dakwa Anwar sebagai pemimpin tak bermoral juga ‘terpaksa’ menelan semula semua tuduhan itu demi memastikan anak kesayangan beliau (Datuk Seri Mukhriz) dapat duduk di kerusi PM nanti. Jadi mereka akan cuba mencuba taktik silap mata masing-masing untuk mencapai agenda tersendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar Nur Jazlan lagi, permainan politik DAP juga tidak kurang hebatnya apabila kononnya membantu Amanah untuk menjadi sebuah parti baharu yang dominan.

Menurut beliau, selepas bergaduh dengan Pas, DAP perlu mencari sekutu baharu dalam politik untuk meraih sokongan pengundi Melayu dan kerana itu mereka membantu kewujudan Amanah.

“Sebelum dan selepas PRU13, DAP cukup galak jadikan Pas sebagai kuda tunggangan supaya parti itu kekal kuat terutamanya di kalangan orang Melayu.

“Tapi selepas putusnya kerjasama politik kedua parti itu, DAP ada sahabat baharu untuk diperkudakan dan sebab itulah DAP banyak tolong Amanah,” katanya.

Kata Nur Jazlan yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai, sikap tonto politik dalam gabungan Harapan itu jelas menggambarkan kesemua parti itu tiada keikhlasan membentuk kerjasama apatah lagi mahu menjadi pejuang rakyat.

Katanya, kebenaran pasti akan terbongkar jua dan tipu muslihat Harapan bakal terdedah apabila mereka diberikan kuasa.

“Realitinya sudah ada depan mata bila dulu pemimpin Pas dan DAP sanggup berpelukan kononnya atas nama perjuangan untuk rakyat.

“Namun bila agenda politik masing-masing terhalang dek tiada kesepakatan dan keikhlasan mereka putus harapan sebelum bergaduh,” jelasnya.

Oleh itu, Nur Jazlan menasihatkan pengundi supaya tidak mudah tertipu dengan taktik licik tonto politik seperti Harapan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *